Blogger Tips and TricksLatest Tips For BloggersBlogger Tricks Sejarah Malaysia: Pejuang Tanah Air Cute Green Pencil

Pejuang Tanah Air

Tun Perak


Tun Perak telah dianggap salah seorang daripada tiga orang pentadbir yang teragung.di alam Melayu pada masa Kesultanan Melayu Melaka. Beliau mempunyai keperibadian, cita-cita dan kebolehan yang tinggi murni bagi seorang pemimpin. Beliau merupakan Bendahara Melaka dalam kurun ke-15 dan merupakan pentadbir yang teragung bersama-sama dengan Aria Gajah Mada dari Majapahit dan Raja Kenayan dari Pasai. Beliau merupakan Bendahara Melaka yang ke-lima dengan gelaran Bendahara Paduka Raja selepas Bendahara ke-empat iaitu Tun Ali Seri Nara Di-raja.
Melaka telah diasaskan oleh Parameswara pada tahun 1396. Melaka telah dinamakan bersempena pokok melaka. Melaka telah dijadikan pentas bagi pendatang Cina, Portugis, Belanda dan Inggeris dalam penciptaan sejarah. Di bawah pemerintahan Parameswara dan pemerintah-pemerintah selepas beliau serta dibantu oleh Bendahara Tun Perak, Melaka membangun hingga menjadi kuat dari segi politik, sosial dan ekonominya. Kepesatan pembangunan di Melaka telah menarik ramai pedagang-pedagang asing dari negara China, India, Timur Tengah serta negara-negara jiran. Melaka pernah menjadi pusat perdagangan utama di timur pada suatu masa dahulu.
Kesejahteraan Melaka ini jugalah yang telah menarik kuasa-kuasa asing seperti Thailand untuk menakluk Melaka. Percubaan Thailand untuk menakluk Melaka pada tahun 1446 dan 1456 telah dijatuhkan oleh Tun Perak, seorang Bendahara Melaka yang bijak. Perhubungan Melaka dengan negara China juga adalah hasil keputusan strategik Melaka untuk menghalang kemasukan Siam. Kepesatan pembangunan di Melaka telah menarik ramai pedagang-pedagang asing dari negara China, India, Timur Tengah serta negara-negara jiran. Melaka pernah menjadi pusat perdagangan utama di timur pada suatu masa dahulu.

Tok Gajah

Tok Gajah adalah ayah kepada Pahlawan Melayu Pahang iaitu Mat Kilau. Pada tahun 1891 hingga tahun 1895 telah berlaku pemberontakan Pahang terhadap pemerintah negerinya. Tok Gajah merupakan tokoh yang terlibat bersama dengan Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Datuk Lela menentang penjajah Inggeris. Beliau bertindak menghalau penjajah Inggeris dengan segala tipu helahnya yang hendak merampas pemerintahan negeri Pahang. Beliau mempunyai semangat perjuangan yang gigih serta sanggup berdepan dengan askar-askar Inggeris yang lengkap bersenjata. Beliau juga bersama dengan Wan Lingga telah diarahkan oleh Bendahara Wan Ahmad untuk menyerang Maharaja Perba dan Orang Kaya Setia Lela. Ini adalah disebabkan perselisahan faham antara Maharaja Perba dengan Bendahara. Beliau pernah diutuskan ke Singapura bagi mendapatkan khidmat peguam sebagai penasihat Sultan Ahmad. Beliau juga menjadi ketua pasukan perang Sultan Ahmad dalam menentang penjajah Inggeris.
Golongan ketiga di negeri Pahang yang menjadi pemilik tanah yang penting dan berkuasa di kawasan-kawasan tertentu dikenali sebagai Orang Besar Raja. Golongan ini juga merupakan orang kesayangan istana tetapi bukan berketurunan bangsawan dan dinaikkan pangkat berdasarkan kepada kecekapan serta kemahirannya dalam bidang ketenteraan. Tok Gajah dan Tuan Sheikh Kechil merupakan dua orang tokoh yang terpilih mengikut kategori tersebut. Tok Gajah mempunyai pengaruh yang luas dan sangat dihormati serta ditakuti oleh orang-orang Inggeris. Beliau merupakan penasihat utama Sultan dalam segala yang berkaitan dengan Hulu Pahang, iaitu hal-hal yang berhubung dengan kawasan-kawasan di hilir sungai dari Pulau Tawar.

Mat Kilau

Nama penuh beliau adalah Mat Kilau bin Imam Rasu @ Tok Gajah. Ibu beliau adalah Mahda iaitu anak kepada Tok Kaut Burau. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar. Mat Kilau pandai mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta belajar berdikir rebana yang dikenali sebagai “Dikir Pahang”.Hobi Mat Kilau adalah bermain gasing dan berlaga buah keras sehingga sentiasa menjadi juara di kampung beliau. Apabila berusia lebih kurang 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan seorang gadis yang bernama Yang Chik binti Imam Daud, Kampung Kedondong. Hasil perkahwinan ini Mat Kilau telah dikurniakan tiga orang anak. Setelah berkahwin barulah Mat Kilau belajar bersilat dan menuntut ilmu kebatinan. Mat Kilau bukan sahaja belajar bersilat sebagaimana sahabatnya yang lain, bahkan beliau lebih mendalami silat dengan menggunakan senjata seperti keris dan parang. Mat Kilau banyak menuntut ilmu batin dan kepahlawanan hinggakan boleh menghilangkan diri. Mat Kilau juga banyak menuntut ilmu daripada ayahnya sendiri iaitu Tok Gajah. Ilmu kebatinan secara agama banyak dituntutnya daripada Haji Osman yang dikenali juga sebagai Haji Muntuk sebelum dia berpindah ke Pekan sebagai Mufti Negeri Pahang.
Mat Kilau mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin dan pemikiran yang matang telah menjadikan beliau seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati. Mat Kilau mempunyai cara pemikiran yang matang. Pada bulan Oktober 1888 semasa Tok Gajah berada di Pekan, Hugh Clifford telah datang ke Pulau Tawar dan berunding dengan Mat Kilau. Ini menunjukkan Clifford mempercayai idea-idea Mat Kilau. Beliau suka bergaul dengan setiap lapisan masyarakat dan ini membuatkan beliau menjadi seorang yang luas pandangan dan mendapat kepercayaan penuh dari masyarakat. Mat Kilau adalah seorang yang jujur dan tegas, justeru itu dia sangat disegani dan amat dikasihi oleh pengikut-pengikutnya. Pengikutnya terlalu ramai,tetapi yang diketahui namanya ialah Awang Nong,Teh Ibrahim, Mat Kelubi, Mat Ali(khatib), Awang(Imam) dan Mat Tahir. Mereka ini sanggup sehidup semati dengan Mat Kilau.
Khabar yang menyatakan Mat Kilau mati tersiar di dalam akhbar-akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura. The Straits Times dan The Free Press menyatakan “Ketua Pendehaka, iaitu Dato’ Bahaman telah jatuh ke tangan pemerintahan Siam pada bulan Oktober,1895. The Free Press pula memberitahu bahawa “Mat Kilau telah melawan apabila hendak ditawan dan akibatnya dia telah cedera di muka dan di kepalanya. Luka-luka itu sangat parah dan dia telah mati di dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan banyak darah”. Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka pada pendapat umum tamatlah sudah riwayat Mat Kilau.akan tetapi apa yang sebenarnya berlaku tiada diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa bin Awang Mat(Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali ,Raja Ibrahim(Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain. Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai ‘penderhaka’ oleh Inggeris,maka terpaksalah Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5,Jalan Kuantan-Gambang. Semenjak 1930 Mat Kilau juga terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam.
Dalam bulan Disember 1969,Tuhan telah menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim,memperkenalkan dirinya yang sebenar.Untuk mengelakkan dirinya dari menjadi tumpuan ramai,maka Mat Kilau telah bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya. Atas daya usaha Omar bin Mat Kilau,maka Mat Kilau dibawa ke Kampung asalnya iaitu Kampung Masjid,Pulau Tawar. Pada hari Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau telah pergi ke Masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau telah mebaca Quran dan kemudiannya mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau. Pengistiharan ini telah mengemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang telah ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis,6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang. Setelah empat hari selepas pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kialu meninggal dunia kerana keuzuran. Usianya ketika itu dipercayai berusia 122 tahun. Beliau tidak sempat menceritakan kisah-kisah perjuangannya kepada kita dengan lebih lanjut.

Hang Tuah

Hang Tuah telah dilahirkan di Kampung Sungai Duyong, Melaka. Ayahnya bernama Hang Mahmud dan ibunya bernama Dang Wati. Ibubapa beliau mempunyai sebuah gerai kecil bersebelahan dengan Kampung Bendahara. Semasa Hang Tuah masih kecil, beliau bekerja sebagai pemotong kayu di gerai keluarganya.
Hang Tuah mempunyai sahabat karib yang bernama Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu dan Hang Kasturi dan dikenali sebagai lima perwira. Lima sahabat karib ini telah berlajar berguru daripada Guru Ali Putera yang tinggal diatas bukit. Keperwiraan Hang Tuah terserlah apabila beliau dapat mengalahkan orang yang mengamuk di Kampung Bendahara, dimana Tun Perak yang datang menyiasat berkenaan perkara tersebut juga telah diserang. Keadaan tersebut dapat diselamatkan oleh Hang Tuan dan kawan-kawannya.
Hang Tuah terkenal dengan sifat taat setia yang tinggi kepada raja dan sanggup berkorban bagi menunaikan tanggungjawab kepada raja dan negerinya. Beliau juga merupakan seorang yang bijaksana dan pintar, pandai menyesuaikan diri dalam keadaan tertentu serta dipercayai oleh Sultan. Hang Tuah merupakan wira unggul pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dan dapat mengalahkan pihak musuh yang ingin menawan Melaka. Kata-kata “Tak Melayu Hilang di dunia” akan sentiasa hidup dengan bersama-sama dengan wira Hang Tuah.

Datuk Bentara Luar Johor


Dato’ Bentara Luar iaitu Dato’ Muhamad Salleh bin Perang berjaya memulakan usaha bagi membangunkan dan membuka Batu Pahat yang dikenali sebagai Pulau Kundur dan Sungai Batu Pahat dikenali sebagai Sungai Kundur. Ianya merupakan petempatan kecil yang berasingan yang dibuka oleh orang-orang kenaman dan orang-orang besar seperti penghulu dan ketua-ketua kampung. Beliau juga merupakan bapa pembangunan bagi negeri Johor berdasarkan usaha-usaha yang dilakukan oleh beliau. Pada tahun 1893, barulah Dato’ Bentara Luar berjaya memulakan usaha bagi membangunkan Bandar Batu Pahat di kawasan Simpang Kanan, kira-kira tujuh batu dari kuala sungai Batu Pahat. Pada 4hb. November 1893, Dato’ Muhamad Salleh yang pada masa itu diam di Kampung Senangar, dipanggil ke Johor Bahru. Pada 11hb. November 1893 dimana Sultan Abu Bakar telah bertitah kepada beliau untuk membuka Batu Pahat. Dato’ Bentara Luar amat mementingkan tanggungjawab beliau dalam memajukan Batu Pahat iaitu dengan menyediakan kemudahan jalan.
Pembukaan rasmi Batu Pahat telah dilakukan pada 1hb. Januari 1894 oleh Dato’ Muhamad Salleh bin Perang sendiri dan telah dihadiri oleh Orang-orang Kaya, Penghulu-penghulu dan orang-orang kenamaan tempatan. Pejabat-pejabat kerajaan juga telah diwujudkan dan disusun dengan teratur. Sistem pentadbiran moden digantikan dengan sistem tradisional dengan pegawai-pegawai tadbir yang tertentu. Batu Pahat mula berkembang maju di mana Dato’ Muhamad Salleh bin Perang yang menjadi wakil Raja memerintah Batu Pahat, kemudiannya menjadi Pesuruhjaya Kerajaan dan telah memainkan peranan yang amat aktif. Orang-orang kampung digalakkan dan digesa membuka kebun untuk bercucuk tanam dan membuat parit tali air dan dalam masa yang sama pemodal-pemodal asing mula datang membuka kebun, ladang serta berniaga di Batu Pahat.
Kebolehan Dato’ Bentara Luar berbahasa Cina merupakan faktor menyebabkan beliau pada umumnya disukai oleh orang Cina dan faktor yang membawa kepada kemajuan ekonomi dan harmoni di daerah ini. Pentadbiran Batu Pahat di bawah pimpinan Dato’ Bentara Luar berjalan lancar dan mengagumkan, ini dinyatakan oleh Ungku Sulaiman bin Daud, Pesuruhjaya Besar Johor (General Commisioner) dalam rangka lawatan tugasnya di Batu Pahat pada 21hb. hingga 24hb. Disember 1896.
Zaman Dato’ Bentara Luar berakhir pada pertengahan tahun 1911 apabila Ungku Ahmad bin Ungku Muhamad Khalid dilantik menjadi Pesuruhjaya Kerajaan Batu Pahat menggantikan Dato’ Bentara Luar. Batu Pahat mengalami zaman baru bila menjelma pula sistem pentadbiran yang seiringan dalam mana Pesuruhjaya Kerajaan Daerah berpadu dengan Penolong Penasihat berbangsa Inggeris untuk menjalankan pentadbiran. Kini Batu Pahat terus membangun dan muncul sebagai salah satu daerah yang termaju di negeri Johor Darul Takzim dan mempunyai potensi yang besar untuk terus maju pada masa hadapan.

Dol Said

Dol Said @ Abdul Said lahir dalam tahun 1773, dari suku Semelenggang dan menjadi Penghulu Naning menggantikan Penghulu Anjak serta dilantik sebagai Penghulu Naning pada tahun 1799 sewaktu berumur 26 tahun. Dol Said merupakan pemerintah Naning yang ke-sembilan yang membantah pengenaan cukai ke atas daerahnya oleh pihak British. Beliau secara keras membangkang kemasukan tentera British di Naning dengan menunjukkan kebijaksanaan peperangan yang telah mengalahkan pihak British dalam dua kempen peperangan. Peperangan Naning, yang berlaku pada tahn 1834 telah menjadikan Dol Said seorang wira yang berani yang telah mengukir tempat di sejarah Melaka.
Penghulu Dol Said telah berjaya mendapat sokongan orang Melayu seramai 1,000 orang untuk menentang British dalam Perang Naning yang bermula pada 6 Ogos 1831 dan berakhir pada 24 Ogos 1831 iaitu kira-kira 18 hari berperang. Dalam peperangan tersebut, Penghulu Dol Said telah mendapat kejayaan dan sebab utama kejayaan tersebut adalah kerana perpaduan yang wujud di kalangan orang Melayu serta sokongan orang Melayu di wilayah yang lain. Dol Said akhirnya terpaksa berundur ke Pasir Besar setelah kalah dalam perang Naning kedua pada Februari 1832 dan dalam masa 4 bulan akhirnya Naning jatuh ke tangan British pada 15 Jun 1832. Naning kemudiannya diletakkan di bawah peraturan Negeri-negeri Selat pada 27 Oktober 1832.

Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh

Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh, lebih dikenali sebagai Dato’ Bahaman ialah Orang Besar yang menentang penjajah British di Semantan, kawasannya di negeri PahangTanah Melayu.
Asal-Usul
Dato Bahaman ialah anak kepada Tuanku Imam Nuh yang berasal dari Bangkinang, dan Rokiah Abdul Rahman, anak perempuan Tok Setia Perkasa Semantan yang berketurunan Bugis dari Sulawesi Selatan. Seorang yang pandai bersilat dan mempunyai ilmu kebal, kelebihan ini telah menyebabkan Bahaman digelarkan ‘Seman Tahan’ oleh penduduk di sekitar kawasan itu sehingga sungai yang tidak bernama ketika itu diberi nama Sungai Seman Tahan dan seterusnya menjadi tempat persinggahan British.
Dato’ Bahaman juga dikatakan pernah menjadi anak angkat kepada Bendahara Ali dan menjadi rakan sepermainan kepada Sultan Ahmad ketika mudanya. Apabila Sultan Ahmad menaiki takhta, Dato’ Bahaman terus menabur bakti kepada tanah airnya.
Anugerah
Dato’ Bahaman telah diangkat sebagai salah seorang Orang Besar Berlapan dan dianugerahkan dengan gelaran Dato’ Setia Perkasa Pahlawan Semantan kerana kerana beliau telah menunjukkan sikap serta kebolehannya sebagai panglima dalam perang saudara antara Sultan Ahmad dan adinda baginda Wan Mutahir serta memimpin pasukan Pahang untuk membantu Tengku Kudin dalam perang Saudara di Klang, Selangor. Selepas kematian Orang Kaya Indera Segara, Dato’ Bahaman telah dilantik oleh Sultan Ahmad sebagai Orang Kaya Temerloh. Dengan pangkat tersebut, kedudukan Dato’ Bahaman adalah sedarjat dengan Orang Besar Berempat dan seringkali diajak berunding oleh baginda Sultan Ahmad.

 Perang Semantan

Punca utama Perang Semantan ialah ketidakpuasan hati Orang-orang Besar Pahang terhadap campur tangan British ke atas kawasan mereka. Ketegangan itu bermula pada bulan Disember 1890 ketika E.A Wise hendak mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua yang terletak di kawasan Dato’ Bahaman, tanpa sebarang perundingan dengannya. Apabila Hugh Clifford, Pemangku Residen British Pahang, mengetahui hal tersebut, beliau menasihatkan Sultan dan baginda kemudian menitahkan Dato’ Bahaman supaya pergi ke Pekan agar perkara itu dapat disiasat. Oleh sebab Dato’ Bahaman enggan ke Pekan, Sultan mengeluarkan surat perintah yang melucutkan pangkat dan tarafnya sebagai Orang Kaya Semantan.
Tindakan itu menyakitkan hati Dato’ Bahaman. Keadaan ini menyebabkan beliau dan pengikut-pengikutnyamenyerang hendap C.E.M Deaborough di Sungai Semantan pada 15 Disember 1891 ketika beliau menyangka Desborough datang untuk menangkapnya. Dalam serangan tiba-tiba itu, pihak Desborough telah kalah dan mereka melarikan diri ke bandar Temerloh.
Setelah mengetahui peristiwa di Semantan itu, pegawai-pegawai British Pahang menyediakan tentera untuk melawan pembangkang-pembangkang Melayu. Ekoran dari itu pada 21 Disember 1891, satu pasukan yang diketuai oleh Clifford dan Tengku Mahmud pergi ke Kampung Kelubi yang merupakan kubu kedua pertahanan Dato’ Bahaman. Di sini berlaku sekali lagi pertempuran antara pihak British dengan Dato’ Bahaman tetapi pihak British sekali lagi ditewaskan.

Buruan British

Pada Januari 1892, pihak Inggeris telah memaksa Sultan Wan Ahmad untuk menamatkan kebangkitan Dato’ Bahaman di Pahang. Satu pasukan yang dinamakan “Gerakan Sultan” telah dilancarkan pada 22 Januari 1892 dengan kekuatan 800 orang. Seramai 140 daripadanya mempunyai senjat api yang dipimpin oleh Tengku Ali, Rodger (Residen Pahang), Panglima Garang Yusof, Saiyid Ali Badoh dan Abdullah dari Bera. Gerakan ini juga menemui kegagalan kerana selain daripada hanya dapat memusnahkan 11 buah kubu kecil termasuk Kubu Batu Ampar, jejak Dato’ Bahaman tidak dapat dikesan dan tidak ada tanda-tanda yang memungkinkan Orang Kaya Semantan itu dan pengikut-pengikutnya yang terdekat akan tertangkap. Pada awal bulan Februari, 1892, keadaan tegang dianggap telah berakhir. Untuk sementara waktu, daerah Semantan telah diletakkan dibawah jagaan Abdullah Bera.
Pada Mac 1892, pasukan Dato’ Bahaman berjaya menawan semula Lubuk Terua. Perjuangan Dato’ Bahaman menjadi lebih hebat kerana dibantu oleh Tok Gajah. Pihak Inggeris kalah dan Abdullah Bera terpaksa pulang ke Bera. Kubu Lubuk Terua dikawal oleh orang-orang dari Cempaka dan Buluh. Ternyata mereka bersimpati dengan gerakan penentangan Dato’ Bahaman terhadap Inggeris.
Pada Mei 1982, Inggeris telah menyerang Lubuk Terua lagi. Pejuang Pahang terpaksa berundur ke Kelantan dan Terengganu. Di Terengganu, Ulama Tok Ku Paluh telah menyemarakkan semangat pejuang Pahang untuk berjihad menentang Inggeris. Pada 14 Jun 1894, Kuala Tembeling dan Jeram Ampai berjaya ditawan oleh Dato’ Bahaman bersama 100 orang pengikutnya.
Pada 29 Jun 1894 sepasukan tentera kerajaan Inggeris yang diketuai oleh Jeneral Walker menyerang kumpulan penentang Inggeris yang diketuai oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan Mat Kelubi di Jeram Ampai, Kuala Tembeling, Pahang. Dalam serangan itu Pemangku Penguasa Ulu Pahang bernama Wise, terbunuh bersama empat anggota polis. Serangan tersebut menyebabkan Mat Kilau berundur ke Kelantan. Ini menandakan berakhirnya perang menentang Inggeris di Pahang.
Sir Hugh Clifford, Residen Bristish di Pahang melancarkan serangan secara besar-besaran yang menelan belanja yang banyak, memburu mereka hingga ke Terengganu dan Kelantan.
Gerakan itu dihentikan pada bulan November 1895 apabila Datuk Bahaman, Pawang Nong dan Mat Lela dikatakan menyerah diri kepada kerajaan Siam tetapi diberi tempoh perlindungan dan ditempatkan di Chiengmai pada awal 1896, manakala Tok Gajah dan Mat Kilau diberitakan meninggal di Terengganu.
Kebangkitan Dato’ Bahaman selama 4 tahun (1891-1894) telah menyebabkan pihak Inggeris menanggung hutang yang banyak. Sultan Ahmad dipaksa membayar sebanyak 7200.00 dollar setahun bagi menyelesaikan hutang tersebut.

 Persetiaan Sumpah

Memandangkan keadaan tidak selamat, Dato’ Bahaman dan pengikutnya telah mengambil keputusan pergi ke Siam. Sebelum itu satu persetiaan telah dilakukan di Kg. Bukit Haji Pak Jedih, Tanah Merah, dimana para pejuang bersumpah akan menggunakan nama lain dan tidak akan mendedahkan siapa diri mereka sebenarnya. Seramai 7 orang terlibat dalam sumpah persetiaan itu, iaitu Dato’ Bahaman (Panglima Kakap), Mat Kilau (Mat Siam, Mat Dahan, Mat Dadu, Mohamed Ibrahim), Mat Lela (Kilat Senja, Gong Poh), Mamat Kelubi (Tok Janggut).
Pada tahun 1911, Dato’ Bahaman telah kembali ke Kelantan manakala Mat Lela pergi ke Indonesia, sementara 2 orang pejuang lagi telah meninggal dunia di Patani, Siam. Pada tahun 1920, Dato’ Bahaman balik ke Kuantan dan tinggal di Kg. Paya Lalang (Padang Lalang) dengan memakai nama Lebai Deraman. Pada tahun 1926, Dato’ Bahaman berpindah ke Kg. Peramu dan dikenali sebagai Tok Guru Peramu. Mat Kilau pula dikatakan berpindah ke Kg Aur Rompin, Tanjumg Medang, Kg. pasir Panjang, Kg. Batu Tering Pekan, Kg. Batu Lima Jalan Gambang. Mamat Kelubi dan Panglima Hitam tidak diketahui kisahnya. Dato’ Bahaman tinggal di Kg. Peramu sehingga kematiannya.


Mat Salleh


Datu Mat Salleh, lebih dikenali dengan mudah sebagai Mat Salleh, merupakan pejuang Sabah yang terkenal dalam penentangan yang hebat terhadap penjajahan British di Sabah. Beliau pernah mengisytiharkan daerahTambunan sebagai daerah di bawah kekuasaannya.
Mat Salleh ialah anak kedua dalam sekeluarga empat adik-beradik daripada suku Βajau dan Ѕulu. Ibunya daripada suku Bajau. Abangnya bernama Ali, sedangkan adik-adiknya bernama Badin dan Bolong. Isteri Mat Salleh yang bernama Dayang Bandang berasal daripada keluarga Kesultanan Sulu dan berkampung diPengalabanPaitan.

Perjuangan

Datu Mohammad Salleh mengambil tugas bapanya, Datu Balu sebagai ketua kampung di daerah Lingkabo dan Sungai Sugut. Perbelanjaan pentadbiran Datu Mat Salleh adalah daripada pungutan cukai ke atas pedagang-pedagang yang melalui Sungai Sugut pada tahun 1894.
Inggeris tidak senang dengan tindakan Mat Salleh itu, lalu menyerang Mat Salleh di Jambongan serta memusnahkan kampung Mat Salleh di Sungai Sugut pada tahun 1896.
Datu Mat Salleh bagaimanapun dapat melepaskan diri. Detik perjuangan Datu Mat Salleh menentang pencerobohan dan keganasan Syarikat Berpiagam Borneo Utara bermula pada bulan Julai 1897. Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya menyerang dan membinasakan pejabat Pentadbiran Kompeni di Pulau Gaya. Dalam tahun yang sama juga Mat Salleh menyerang dan membakar Pejabat Residen Kompeni di Ambong.
Pada bulan Disember 1897, Inggeris menyerang kubu Mat Salleh di Ranau. Mereka tewas dan banyak askar Inggeris terbunuh. Seterusnya pada bulan Januari 1898, Inggeris sekali lagi menyerang kubu Mat Salleh di Ranau dengan angkatan tentera yang lebih besar.
Mat Salleh terpaksa mengundurkan diri dan membina kota pertahanan yang baru, yang lebih kuat dan kukuh di kampung Tibabar, Tambunan.
Kota utama Mat Salleh di Tambunan ini sangat sukar ditembusi. Kota ini diperbuat daripada batu-bata, kayu serta buluh tidak dapat ditembusi peluru. Setiap penjuru kota dikawal dan terdapat beberapa terowong atau jalan bawah tanah yang rahsia digunakan untuk meminta bantuan-bantuan senjata, makanan dan lain-lain dari luar kota. Jalan rahsia ini juga dijadikan jalan untuk berundur menyelamatkan diri apabila dikepung musuh.
Tidak lama kemudian, pihak Kompeni menawarkan perdamaian dan Mat Salleh bersetuju, walaupun ditentang orang-orangnya. Tetapi pada 1899, Kompeni cuba mengambil alih Tambunan daripada Mat Salleh dan menyebabkan peperangan tercetus kembali.
Dan akhirnya pada 31 Januari 1900, kota Mat Salleh tumbang akibat serangan hebat Kompeni yang berjaya mematahkan pertahanan Mat Salleh. Dan peristiwa itu menandakan gugurnya Mat Salleh sebagai pejuang bangsa.
Kini sebuah tugu dibina oleh Inggeris untuk memperingati kota Mat Salleh itu. Di tugu peringatan itu, tertulis perkataan dalam bahasa Inggeris yang bererti, ‘Tugu ini menandakan tapak kubu Mat Salleh yang telah ditawan oleh Pasukan Bersenjata North Borneo Constabulary pada 1 Februari 1900. Dalam masa pertempuran itu, Mat Salleh yang telah mengetuai pemberontakan selama enam tahun menentang Pentadbiran Chartered Company menemui ajalnya’.
Pada pandangan British, Mat Salleh dianggap sebagai seorang pemberontak, tetapi pada kaca mata rakyat tempatan, dia ialah pejuang kemerdekaan dan seorang pahlawan. Bagaimanapun, terdapat sebilangan rakyat tempatan terutama di kalangan keturunan penduduk yang mempunyai sejarah pernah bertempur atau berperang dengan pihak Mat Salleh, yang tidak mengiktiraf Mat Salleh sebagai pahlawan apatah lagi pejuang kemerdekaan kerana Mat Salleh dikatakan berjuang untuk kepentingan diri dan kumpulannya sahaja dan bukan secara menyeluruh.

Yamtuan Antah


PERJUANGAN menentang penjajah di Negeri Sembilan dipelopori Tunku Laksamana Antah Ibni Almarhum Raja Radin atau dikenali Yamtuan Antah yang juga Yamtuan (pemerintah) kelapan bagi kawasan Seri Menanti.
Perjuangan di negeri itu bermula pada Mac 1872 apabila Datuk Kelana Sungai Ujong, Datuk Laksamana Syed Abdul Rahman membuat perjanjian membenarkan seorang Inggeris, Henry Velge membuka lombong bijih timah di Sungai Ujong (kini Seremban).
Bermula detik itu, British bertapak di Negeri Sembilan. Kemarahan orang Melayu semakin meluap-luap pada April 1874 apabila Datuk Kelana Syed Abdul Rahman dan Datuk Muda Linggi pergi ke Singapura untuk bertemu British membuat satu perjanjian dengan wakil British, Andrew Clarke yang boleh merugikan bangsa dan tanah air iaitu menawarkan Sungai Ujong berada di bawah lindungan penjajah  itu.
Lebih mengecewakan apabila pada Ogos tahun sama Datuk Kelana menghantar surat kepada Clarke yang mengalu-alukan kehadiran seorang residen untuk menasihatinya memerintah Sungai Ujong.
Bendera Union Jack akhirnya dinaik dan dikibarkan di puncak tiang berhampiran rumah Datuk Kelana di Ampangan pada September 1874, seterusnya disusuli istiadat tembakan meriam sebanyak 21 das seolah-olah British cuba memberitahu penduduk yang mereka berkuasa di Sungai Ujong.
Bagi mengukuhkan kedudukannya di Sungai Ujong, Datuk Kelana yang dibantu kira-kira 150 askar British lengkap bersenjata kemudian menyerang Datuk Bandar Tunggal dan membakar Rahang yang dimusuhinya pada November 1874. Datuk Bandar Tunggal akhirnya mengaku kalah akibat serangan itu.
Dengan kejayaan itu pada awal 1875, Residen British pertama di Sungai Ujong, PJ Murray dilantik untuk membantu Datuk Kelana  memerintah. Pembesar lain di Negeri Sembilan jelas tidak setuju dengan dasar berkenaan.
Bagi mereka, tindakan Datuk Kelana membawa masuk British ke Sungai Ujong umpama mengundang penjajah untuk menjajah negeri mereka.
Hari berikutnya memperlihatkan yang Datuk Kelana masih tidak menghiraukan pandangan pembesar lain. Lalu pakatan pembesar menabalkan Yamtuan Antah sebagai Yamtuan Seri Menanti yang mana jajahan itu meliputi Terachi, Ulu Muar, Gunung Pasir dan Jempol.
Tindakan Datuk Kelana membenarkan British bertapak di Sungai Ujong mengeruhkan hubungan antara dirinya dengan pembesar lain termasuk Yamtuan Antah. Yamtuan Antah akhirnya tidak mengiktiraf Datuk Kelana sebagai pemerintah Sungai Ujong.
Pertengahan 1875, di bawah lindungan British, Datuk Kelana mengisytiharkan Terachi yang terpisah oleh Bukit Putus, sebagai sebahagian daripada wilayah miliknya iaitu  Sungai Ujong sekali gus mencetus api pertelingkahan dengan Yamtuan Antah.
Datuk Kelana dan British bertindak melantik orangnya sebagai pemerintah Terachi dengan anggapan daerah itu sudah menjadi milik mereka pada November tahun sama. Yamtuan Antah yang semakin berang kemudian memecat Datuk Pemerintah Terachi yang dilantik Datuk Kelana.
Residen British, Murray yang berpihak kepada Datuk Kelana menganggap perbuatan Yamtuan Antah itu sebagai mengganggu daerah pemerintahan Datuk Kelana dan melanggar undang-undang.
Pada 27 November 1875, Murray ke Terachi bersama 20 askar diketuai Leftenan Hinxman selain 30 polis dan masing-masing seorang doktor dan jurubahasa Australia bernama Dominic Daly pergi ke Terachi, tetapi mendapati tiada kekacauan berlaku di kawasan itu.
Sehari kemudian, Murray kembali ke Sungai Ujong tetapi Daly ditinggalkan di Terachi untuk mengukur  jarak antara Kampung Terachi dengan Kuala Pilah. Di tepi sebatang sungai, Daly bertemu sekumpulan penduduk seramai 200 orang yang menuntut lelaki asing itu dan orang-orangnya balik ke Sungai Ujong.
Daly ketakutan, dia segera meminta bantuan Murray di Sungai Ujong dan Residen British itu bertindak menghantar pasukan askarnya yang diketuai Hinxman. Kedatangan bantuan tentera British ke lembah Terachi itu segera dimaklumkan kepada Yamtuan Antah.
Kedatangan British itu seolah-olah mencabar kedaulatan Seri Menanti lalu Yamtuan Antah mengerahkan pasukannya seramai kira-kira 4,000 orang supaya bersedia untuk menghadapi peperangan.
Kebangkitan Yamtuan Antah untuk mengusir penjajah itu turut mendapat sokongan beberapa pembesar antaranya Datuk Siamang Gagap, Tengku Besar Tampin, penduduk Rembau, Jelebu dan Johol.
Seterusnya pasukan perang Yamtuan Antah segera mendaki  dan menyeberangi Bukit Putus untuk memasuki Paroi. Di situ, Yamtuan Antah mengutus surat amaran kepada Murray supaya tidak lagi mengganggu kedaulatan Seri Menanti dan menceroboh Terachi.
Murray yang ketakutan melihat kebangkitan penduduk dipimpin Yamtuan Antah segera meminta bantuan ketenteraan dari Negeri-negeri Selat.
Keadaan British di Sungai Ujong semakin genting kerana mereka khuatir penduduk akan menyerang. Hinxman dan askar lain yang berada di Rasah, segera menggali parit dan membuat kubu pertahanan di sekeliling tapak perkhemahan tentera mereka.
Pada Disember 1875, pasukan Yamtuan Antah seramai 200 orang berjaya menawan Paroi dan mereka membina kubu di situ tetapi di Sungai Ujong, bantuan British dari Melaka yang terdiri daripada 20 askar diketuai Leftenan Peyton tiba untuk menentang kebangkitan penduduk.
Dengan bantuan tambahan, Hinxman membawa satu  pasukan perang seramai 30 askar, 30 polis dan enam askar Arab dari Rasah untuk menyerang pasukan Yamtuan Antah di Paroi.
Bagaimanapun, sebaik sampai, pasukan British terlebih dulu diserang penduduk menggunakan senapang. Bilangan pejuang tempatan yang lebih ramai daripada pasukan Hinxman menyebabkan musuh hampir dapat dikepung dan ditahan.
Menyedari mereka akan kalah, askar British yang ketakutan segera melarikan diri dan balik ke Rasah. Tentera Yamtuan Antah berjaya menduduki dan bertahan di sebuah rumah di tepi Sungai Linggi.
Pada 5 Disember 1875, British semakin tertekan apabila pasukan diketuai Hinxman gagal merampas kembali Paroi. Mereka merancang serangan yang lebih hebat. Menggunakan meriam milik Datuk Kelana, mereka membedil pertahanan tentera Yamtuan Antah. Penduduk yang tidak dapat mempertahankan serangan meriam itu segera berundur.
Pada Disember  1875, pasukan askar British diketuai Hinxman sampai di Paroi dan mula menyerang kubu pertahanan Yamtuan Antah. Pertempuran hebat menggegarkan bumi Paroi pada hari itu.
Selepas satu jam berbalas tembakan, askar British akhirnya berjaya menyeberangi paya yang terbentang di hadapan kubu pertahanan Yamtuan Antah walaupun beberapa jasad askar mereka berjaya ditembak.
Hinxman dan Peyton kemudian nekad untuk terus memusnahkan kubu pertahanan tentera Yamtuan Antah. Mereka membawa satu pasukan seramai 20 askar British dan Arab menuju ke kubu pertahanan Yamtuan Antah tetapi mereka tersesat jalan. Dalam kebingungan, mereka terus diburu askar tempatan.
Tunku Laksamana akhirnya dilantik sebagai Yamtuan Besar Seri Menanti
BANTUAN tambahan yang diminta Murray tiba di Sungai Ujong pada 8 Disember 1875. Diketuai Leftenan Gabenor Pulau Pinang, Anson, lelaki asing itu  tiba bersama pasukan perang terdiri daripada 350 askar British yang dibawa dari Melaka.
Kekalahan dalam pertempuran sebelum itu, menyebabkan British memperkuatkan serangan terhadap tentera Yamtuan Antah di Paroi. Kali ini, menggunakan beberapa pucuk meriam, mereka membedil kubu Yamtuan Antah.
Selepas melepaskan 10 das tembakan meriam, pasukan Yamtuan Antah terpaksa berundur. Selepas pertempuran hebat itu mengorbankan 37 askar British dan Arab selain mencederakan ramai pihak, akhirnya Paroi dapat dirampas semula British.
Pada 10 Disember 1875, bantuan British terus dibawa masuk iaitu pasukan askar Gurkha seramai 250 orang berserta pegawainya seramai 32 orang. Pasukan meriam daripada kapal perang HMS Thistle turut tiba di Sungai Ujong.
Dengan kekuatan tentera itu, Leftenan Kolenal Clay iaitu Ketua Pemerintah Askar Sungai Ujong merancang menyerang Bukit Putus  yang masih berada di bawah kekuasaan pengikut Yamtuan Antah, daripada pelbagai penjuru.
Pada 19 Disember 1875, satu pasukan perang British diketuai Murray bertolak dari Sungai Ujong menuju Bukit Putus melalui Langkap. Clay pula mengetuai pasukan seramai 280 orang.
Akhirnya berlaku pertempuran antara pasukan British dan pejuang tempatan di Bukit Putus dan akhirnya kawasan itu berjaya ditawan British. Selepas menawan Bukit Putus, Clay bersama pasukannya menuju Seri Menanti.
Menyedari kehadiran musuh, Yamtuan Antah dan keluarganya terpaksa berundur meninggalkan Seri Menanti dan bergerak mencari perlindungan di Johor.
Di negeri itu, Yamtuan Antah bertemu Sultan Johor, Maharaja Abu Bakar. Maharaja Abu Bakar kemudian menasihati baginda supaya berdamai dengan British. Dengan pertolongan Sultan Johor itu, pada Mei 1876, Yamtuan Antah membuat pertemuan dengan Gabenor  Singapura iaitu William Jervois.
Yamtuan Antah bersama empat pembesar dari daerah Seri Menanti, Johol dan Inas sekali lagi menemui Gabenor British di Singapura pada November 1876.
Dalam pertemuan itu, pihak British memikirkan yang adalah lebih baik berdamai dengan penduduk setempat bagi menunjukkan imej baik mereka.
Lalu Kerajaan British bersetuju melantik Yamtuan Antah sebagai Yamtuan Besar Seri Menanti. Daerah lain dalam Negeri Sembilan akan diserahkan di bawah kekuasaan Ketua Daerah masing-masing manakala daerah Sungai Ujong berada di bawah kekuasaan British.
Selepas dua tahun berundur ke Johor, akhirnya Yamtuan Antah kembali ke tanah airnya, Seri Menanti. Beliau hanya sempat tinggal di Bandar Diraja itu selama 11 tahun apabila pada 1888, beliau meninggal dunia.
Tamatlah riwayat seorang pemerintah yang begitu cintakan tanah air sehingga sanggup  melancarkan peperangan bagi mengusir British dari terus menjajah penduduk tempatan.
Semangat perjuangannya akan terus kekal diingati dan harap diwarisi seiring kewujudan daerah Seri Menanti khususnya dan Negeri Sembilan umumnya.

Rentap


PENGENALAN
Rentap merupakan seorang pahlawan Dayak (Iban) terkenal dalam sejarah Sarawak. Dia merupakan salah seorang pemimpin penentang kepada pemerintahan Raja Putih Brooke.
 PENENTANGAN RENTAP
Pada tahun 1853 Rentap telah mengetuai pasukan orang Iban yang menyerang pasukan British di Skrang yang diketuai oleh William Brereton. Rentap adalah seorang panglima perang orang Iban yang tinggal di ulu Sungai Sekrang. Rentap yang menjadi ketua orang Iban telah menentang pemerintahan Brooke kerana Brooke merancang membanteras amalan kutipan cukai oleh ketua-ketua tempatan yang dianggap lanun olehnya, sedangkan ia merupakan sumber pendapatan tradisi ketua-ketua tempatan.
Brooke turut juga mengganggu cara hidup tradisional orang Iban yang mengamalkan kegiatan memotong kepala dengan beberapa pembaharuan. Justeru itu pada tahun 1853, Rentap bersama pasukannya menyerang kubu-kubu di Sungai Skrang. Pihak British telah diserang hendap oleh orang-orang Rentap. Berlakulah pertempuran yang sengit di antara kedua-dua pihak. akibat pertempuran itu seorang menantu Rentap bernama Layang telah membunuh Alan Lee dengan lembingnya. Rentap dengan segera membawa pasukannya pulang ke ulu Sungai Sekrang.
Dalam pertempuran itu pihak British berundur ke pangkalan Merak dan ini menyebabkan Rentap semakin dihormati oleh pengikutnya. Walau bagaimanapun pengikut Brooke telah membinasa dan membakar 20 buah rumah panjang tempat kediaman Rentap. Dengan itu Rentap terpaksa berundur dan membina tempat kediaman di sungai Lang iaitu di ulu Sungai Skrang. Namun angkatan Brooke berjaya menyerang rumah panjang Rentap dan ia dengan sebilangan pengikut berundur dan membina kubu di sebuah bukit bernama Bukit Sadok. Kubu Bukit Sadok ini sukar untuk ditakluki kerana diperkuatkan oleh sebatang merian yang dikenali sebagai “Bujang Timpang Berang”. Mulai dari tahun 1875, kerajaan Brooke telah membuat tiga percubaan untuk menangkap Rentap. Namun pada tahun 1861 barulah mereka berjaya menguasai Bukit Sadok setelah membawa beberapa buah meriam yang dikenali sebagai “Bujang Sadok”.
Kubu-kubu dan rumah-rumah tempat kediaman Rentap dan orang-orangnya habis dibakar oleh kerajaan Brooke pada 20 oktober 1861. Rentap kemudian berundur ke Ulu Entabai. Kemudian Rentap dan pengikutnya berpindah ke Bukit Sibau iaitu kawasan yang terletak di Ulu Wak, Pakan. Beberapa tahun kemudian, Rentap meninggal dunia di situ pada usia lebih kurang 70 tahun. Rentap merupakan pejuang sejati kerana beliau tidak pernah untuk tunduk kepada pemerintahan Brooke sehingga ke akhir hayatnya. Sehingga ke hari ini makam pahlawan Rentap telah di baik pulih oleh kerajaan negeri Sarawak bagi mengenang jasanya.

5 comments:

  1. Kepada Tuan Pengarang.
    Gambar Dato' Bentara Luar Johor bukan seperti yang disiarkan.
    Itu adalah potret Almarhum Sultan Ibrahim.
    #warisDBLJ

    ReplyDelete
  2. ia sangat membantu arif , haziq , aminul , harris dan afiq untuk membuat assignment

    ReplyDelete

Back To Top